“Syeikh, enta like apa tu dekat facebook?”,pertanyaan dari seorang ikhwah kepada Ali. Ali berfikir-fikir dan tertanya-tanya apa yang telah di’like’nya di facebook. Tanpa membuang masa, dia terus melihat profilenya dan DENG!. “Allah! bila masa aku like benda ini???.” dan terus delete dari profilenya.
Beginilah satu situasi yang telah atau bakal terjadi pada diri setiap individu kalau tidak berhati-hati menggunakan teknologi zaman kini. Fitnah yang bukan sahaja terkena pada diri sendiri, malah kepada keluarga dan lebih teruk kepada perjuangan dan agama. Disebalik kebaikan teknologi yang selalu kita agung-agungkan, jangan lupa keburukannya yang amat halus. Kekadang tidak mampu dilihat dgn mata kasar dan tidak disedari oleh si pembuatnya. Dasyat bukan?
Sebab itu, antara yang diajar Rasulullah SWT kepada setiap yang bersolat agar sentiasa memohon perlindungan dengan Allah daripada 4 perkara, iaitu:
Ingin saya memetik beberapa kisah yang memilukan hati kita bila membacanya…
Telah berulang kita membaca doa Nabi s.a.w. “Ya Allah, jika Engkau kehendaki berlaku dalam sesuatu kaum itu fitnah, maka matikanlah aku dalam keadaan tidak terfitnah” (Riwayat al-Imam Ahmad, dinilai sahih oleh al-Albani). Namun membaca hadis ini dalam zaman atau keadaan yang penuh fitnah benar-benar memilukan jiwa.
Terasa keperluan kepadanya. Terasa kerinduan kepada kedamaian hidup yang hakiki. Lalu airmata tanpa sedar membasah pipi dalam kelesuan gelora hidup dan syahduan perasaan yang rindukan bimbingan Tuhan. Dalam doa ini Baginda Nabi s.a.w mengajar agar kita memohon supaya jangan ditimpakan fitnah iaitu kerosakan yang menggugat pegangan atau pendirian yang benar dalam beragama.
Fitnah jika turun sehingga menggugat apa yang diajar oleh Allah dan rasulNya, maka kehidupan itu adalah racun sekalipun disangkakan madu. Jika benar fitnah akan berlaku maka kita disuruh memohon kepada Allah agar mati dalam keadaan tidak terlibat dengan fitnah atau kerosakan tersebut. Walaupun asalnya seseorang tidak disuruh bercita-cita untuk mati, namun baginda dalam hadis lain menyebut: “Jangan seseorang kamu berharap agar mati disebabkan kemudaratan yang menimpanya. Namun jika tidak boleh, katakanlah: Ya Allah! Hidupkanlah daku sekiranya kehidupan itu baik untukku. Matikanlah daku jika kematian itu baik untukku” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Kadang-kala kematian lebih baik daripada hidup menyusahkan orang lain sehingga menjadi fitnah atau gangguan kepada umat. Demikian mati lebih baik daripada cuba menghadapi ujian yang akhirnya membawa kita tewas lagi rugi pada kehidupan akhirat. Maka tidak pelik jika Saidina ‘Umar bin al-Khattab r.a. pada usianya yang lanjut, ketika dia pulang dari menunai haji, beliau berdoa sambil mendongak ke langit dan mengangkat tangannya: “Ya Allah! Sesungguhnya telah lanjut usiaku, telah rapuh tulang belulangku, bertambah ramai rakyatku, maka ambillah nyawaku sebelum aku mensia-sia tugas dan tanpa ditimpa fitnah”. Lalu tidak sampai sebulan selepas pulang ke Madinah beliau wafat dibunuh.
Demikian Saidina ‘Ali bin Abi Talib r.a, walaupun usia belum lanjut, namun apabila rakyatnya kucar-kacir tidak mahu tenteram walaupun telah diusahakan, beliau meminta agar Allah merehatkannya dari kedegilan rakyatnya. Lalu beliau pun mati selepas itu. Khalifah ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz apabila merasakan rakyat sudah tidak mampu mentaati keadilan dan kebenaran yang ditegakkannya, dia meminta daripada insan yang mustajab doanya ketika itu agar memohon Allah mengambil nyawanya. Lalu tidak lama kemudian dia pun meninggal. (lihat: Ibn Rajab, al-Jami’ al-Muntakhab, 103, Lebanon: Muassasah Fuad).